Welcome

Saturday, 9 July 2011

Perkembangan bayi usia 11 bulan

Berdikari secara fizikal

Sekarang, cuma tinggal satu bulan saja sebelum harijadi pertama bayi anda dan anda harus sedar yang dia bukan lagi seorang yang tidak boleh bertindak sendiri tanpa anda. Walaupun dia masih memerlukan banyak jagaan dan bantuan, tetapi tahap berdikarinya kian meningkat – jelas apabila melihat dia berdiri, membongkok dan mencangkung – yang semakin menonjol. Dia mungkin boleh berjalan dengan memegang tangan anda dan dia akan mengulurkan lengan atau kakinya untuk membantu anda memakaikan pakaiannya. Pada waktu makan, dia mungkin boleh memegang cawan dan minum sendiri (walaupun sesetengah kanak-kanak tidak boleh membuat ini untuk beberapa bulan lagi) dan boleh menyuap dan menghabiskan makanannya dengan sendiri.
 
Apa yang menarik ialah, apabila anak anda pandai memegang cawan dan minum sendiri, masa inilah anda mesti belajar bagaimana nak mengelak, sebab sudah tentu dia akan melontarkan saja cawan itu apabila selesai walaupun ada kalanya dia meletakkan cawan secara lembut. Dia juga akan menjatuhkan objek dengan sengaja untuk dikutip oleh orang lain, barangkali mengharapkan anda juga.
 

Buku untuk si pembaca kecil

Bayi anda seronok melihat buku, walaupun dia tidak akan membukakannya sehelai demi sehelai. Dia juga akan mempunyai buku kegemarannya yang dia akan mahu mengulangi berulang-kali.
 

Membentuk peribadinya sendiri

Pada usia ini, bayi anda mula menjadi asertif dengan adik-beradiknya dan mula menyertai permainan secara selari – bermain hanya di sampingan (tetapi bukan bersama) kanak-kanak yang lain. Dia juga akan memilih sesuatu selimut atau anak patung lembut sebagai objek sekuriti untuk mendampinginya.
 

Tiba masanya untuk menetapkan batasan

Bayi anda mungkin sudah boleh memahami arahan mudah dan dengan sengaja akan memilih untuk tidak mendengar cakap anda apabila anda mengatakan “tak boleh.” (Untuk menegaskan ungkapan tersebut, hanya gunakannya untuk perkara-perkara yang betul-betul merbahaya.) Walaupun pada keesokan harinya, bayi anda tidak akan ingat lagi apa yang anda katakan pada hari ini, namun, bukanlah terlalu awal untuk anda menetapkan batasan-batasan dan mula mengajarnya apa yang betul dan apa yang tidak.
 
Anda bukannya bersikap kejam jika anda tidak membenarkannya makan satu keping kek lagi; anda hanya menetapkan batasan. Jika dia menarik ekor anak kucing, alihkan tangannya, pandang mukanya dengan serius dan katakan, “Jangan, itu menyakitkan kucing.” Kemudian, ambil tangannya dan tunjuklah dia bagaimana untuk membelai kucing dengan lembut. Dia lebih suka meneroka daripada mendengar amaran anda, jadi anda mesti bijak mencari jalan untuk melindungi dan mengajarnya. Apa yang anda terlihat seakan-akan bantahan, sebenarnya bukan begitu; ia hanyalah perasaan semulajadinya untuk mengetahui bagaimana dunia sekelilingnya bergerak dan wujud.
 

Bercakap tak terhingga

Bunyi-bunyi perkataan dan bunyi yang mirip perkataan akan diungkapkan oleh bayi anda – dan digunakan secara bermakna. Apabila lobus frontal otak bayi anda bertumbesar, serentak dengan keupayaan kognitif tinggi seperti penaakulan dan pertuturan, adalah baik jika anda dapat menggalakkan minatnya terhadap bahasa dengan mendengar bersungguh-sungguh dan membalas kata-kata dan celotehnya. Interaksi seperti ini adalah penting untuk membiasakannya dengan komunikasi dua hala. Bermain permainan bertepuk-tepuk tangan, contohnya patta-cake dan permainan sekejap-nampak, sekejap-tidak atau peek-a-boo akan membantunya menajamkan daya ingatannya.
 
Pada usia ini, bayi anda mungkin boleh mengajuk bunyi perkatan serta infleksi bunyi dan juga tingkah-laku tertentu. Dia juga mungkin boleh mematuhi arahan mudah seperti "Tolong ambilkan saya bola itu" atau "Angkat sudu itu." Bantu dia belajar dengan memberi arahan secara mudah, langkah demi langkah supaya senang diikuti.
 
Hargailah masa yang singkat tetapi istimewa ini, iaitu semasa kemahiran komunikasi bayi anda sedang berkembang. Ini boleh dikatakan kebolehan yang paling penting yang diperolehi olehnya.

Perkembangan bayi usia 10 bulan

Melakukan pergerakan yang lebih banyak

Ketika bayi berusia 10 bulan, dia selalunya boleh merangkak dengan baik menggunakan tangan dan lututnya, dengan anggota-anggotanya lurus dan tubuhnya selari dengan lantai. Banyak juga bayi yang cuba merangkak sebelum usia 10 bulan tetapi hanya dapat melakukannya dengan baik pada usia ini. Pada usia ini juga, bayi anda boleh duduk dengan yakin dan mungkin boleh berjalan sambil memegang perabot, dan mungkin juga dapat melepaskan pegangannya seketika dan berdiri tanpa sokongan.

Apabila bayi sudah dapat berdiri dengan mengimbangkan badannya, sambil menggunakan objek lain untuk mengekalkan posisi, dia juga akan mencari cara-cara untuk naik ke atas perabot dan juga merangkak naik tangga. Semasa berada dalam posisi berjalan dia akan mengambil langkah dan akan cuba mencapai alat mainan dari posisi berdiri. Langkah-langkah pertama yang menakjubkan ini sebelum dia mencapai perkembangan penuh – yang akan memberi anda senaman yang cukup! – akan tiba tidak lama lagi.
 

Memegang dengan jari-jemarinya

Jari-jemari bayi anda menjadi semakin lincah. Dia boleh mengangkat objek kecil menggunakan ibu jari dan jarinya dengan tidak perlu mengampukan pergelangan tangannya di atas permukaan yang keras. Dia berminat dengan barang-barang kecil dan akan menjilat-merasanya; ini adalah okey selagi barang itu boleh dimakan dan tidak terlalu kecil sehingga menyebabkan bayi anda tercekik.
 

Personaliti yang berkembang

Personaliti bayi anda sedang berkembang dengan cepat sekarang. Dia akan mula menjadi sangat sosial, memberikan senyuman besar kepada semua orang atau sebaliknya menjadi lebih penyegan dan menyembunyikan mukanya apabila berjumpa dengan orang yang tidak dikenali. Dia akan mengulangi bunyi, memberikan tanda isyarat tertentu untuk mendapatkan perhatian anda dan mungkin akan melambai-lambai selamat jalan apabila melihat anda menuju ke pintu. Dia juga boleh berfikir dengan sendiri, dan anda akan menyedari ini apabila dia membantah jika diletakkannya dalam kerusi bayi dalam kereta atau dalam kereta tolaknya.
 

Menangani ketakutan bayi anda

Ada masa-masanya bayi anda akan takut dengan perkara-perkara yang dia tidak faham atau perkara biasa yang sebelum ini tidak menganggunya, seperti bunyi loceng atau telefon. Apabila ini berlaku, perkara yang paling penting yang dilakukan oleh seorang ibu atau bapa ialah bagi menenangkan bayi anda serta meyakinkan dia yang anda ada di situ dan tiada apa-apa yang akan berlaku kepadanya.
 

Bercakap dengan bayi anda yang ‘bermulut murai’

Bayi anda sudah mula memahami banyak perkataan dan frasa yang mudah, jadi adalah amat penting untuk anda terus bercakap dengannya. Berikan bayi anda asas kukuh dalam menggunakan struktur ayat yang baik dengan mengulangi sebutannya dahulu, kemudian menyatakan perkara yang sama tetapi menggunakan bahasa yang betul. Sebagai contoh, jika dia meminta "baubau," ulangilah, dengan cara lembut, sebutan yang betul dengan menanyakan, "Adakah kamu mahu minuman?" Pada peringkat ini, perkara paling baik ialah untuk mengelakkan penggunaan percakapan bayi – yang sememangnya menarik, tetapi ingatlah bahawa adalah lebih baik untuk perkembangan bayi anda jika dia mendengar sebutan yang betul.
 
Walaupun kadang-kala anda akan berasa pelik untuk berbual dengan bayi anda, ini sebenarnya adalah cara terbaik untuk menggalakkan kemahiran bahasanya. Apabila dia mengeluarkan ayat secara meraban, jawablah "Oh, ya ke? Pandainya." Sudah tentu dia akan respon dengan gembira dan meneruskan percakapannya. Lambat laun, anda akan dapat mengenali beberapa perkataan atau tanda isyarat yang boleh difahami, di samping lain bentuk komunikasi seperti menunjuk atau berdengus dengan cara tertentu.
 
Memberikan bayi anda deskripsi terperinci mengenai apa yang sedang anda lakukan juga merupakan satu amalan yang baik, seperti menceritakan aksi anda sedang menghiris bawang untuk masakan atau melipat kain. Sambil anda meletakkan bayi anda ke dalam kereta tolaknya, katalah, "Sekarang, mak nak letakkan kamu ke dalam kereta tolak biru. Sekarang, ibu akan mengancingkan kamu dan membuatkan kamu selesa. Okey dah, jom kita ke taman." Anda juga boleh menyanyikan lagu kanak-kanak dengan melakonkan aksi sesuai (sebagai contoh, melambai untuk "selamat tinggal") supaya dia belajar mengenali kata-kata dan frasa-frasa asas.
 
Bayi akan mula memahami konsep hubung kait. Apabila ini berlaku, dia akan turut menepuk tangannya apabila anda menepuk tangan atau dia mula mengatakan "mama" apabila memandang anda dan "dada" apabila ayahnya masuk ke bilik (walaupun pada mulanya, dia akan menggunakan nama-nama ini secara sembarangan).

Saturday, 2 July 2011

Perkembangan bayi usia 9 bulan

Hampir berjalan

Bayi anda semakin hampir untuk berjalan sepenuhnya. Pada usia ini, dia mungkin akan boleh merangkak naik tangga dan berjalan-jalan (meronda-ronda dalam posisi tegak sambil memegang perabot). Sesetengah bayi yang berusia sembilan bulan mungkin sudah boleh mengambil beberapa langkah ke depan - dengan dibantu. Bayi anda juga belajar bagaimana untuk membengkokkan lututnya dan bagaimana untuk duduk selepas berdiri (satu perkara yang lebih sukar untuk dipelajari daripada apa yang dijangkakan!).

Anda boleh membantu bayi anda dengan berdiri atau melutut di hadapanya dan menghulurkan tangan anda sebagai galakan, sambil memegang kedua-dua tangannya dan membuatkannya berjalan ke arah anda atau dengan membeli mainan membantu bertatih atau alat yang serupa dengannya yang mana bayi anda boleh pegang dan tolak (cari alat bertatih yang stabil dan mempunyai tapak yang lebar.)

Menyediakan rumah anda supaya selamat untuk kanak-kanak adalah suatu kemestian sekarang. Anda boleh mulakan dengan meletakkan selak pada pintu almari yang dilarang untuk dibuka oleh bayi -- selalunya bayi suka bermain dengannya.

Kasut? Belum lagi

Apabila bayi-bayi mula berdiri dan berjalan, kebanyakan ibu bapa akan tertanya-tanya jika perlu memakaikannya kasut. Sehingga bayi anda sudah biasa berjalan di luar kawasan rumah, kebanyakan pakar-pakar merasakan ianya tidak perlu. Berkaki ayam/berjalan tanpa kasut bukan hanya menguatkan otot tapak kaki dan kaki tetapi juga memudahkan bayi anda menyeimbangkan diri apabila kakinya bebas merasakan semua tekstur permukaan jalannya.

Bermain dan belajar

Sekarang, bayi anda boleh meletakkan objek ke dalam bekas dan mengeluarkannya. Berikannya timba plastik dan beberapa bongkah berwarna-warni (pastikan ianya tidak terlalu kecil sebab dia boleh menelannya) supaya dia boleh berlatih kemahiran barunya ini. Dia juga suka alat mainan dengan bahagian yang bergerak, seperti roda, tuil atau pintu yang boleh dibuka dan ditutup. Kereta plastik besar yang boleh ditolak oleh bayi anda di atas lantai merupakan alat mainan kegemaran bayi lelaki dan juga perempuan.
Jika anda mengambil alat mainan daripadanya, selalunya bayi anda yang semakin mendesak akan membantah. Dia akan mula menunjukkan apa yang dia perlu dan mahukan.
Kira-kira separuh daripada bayi yang berusia sembilan bulan akan memulakan permainan hantaran, memberikan alat mainan dan mengambilnya kembali. Jadilah rakan sepermainannya. Cuba mengolekkan bola kepada bayi anda apabila anda bermain di atas lantai dan lihat jika dia menggolekkannya kembali kepada anda. Berikan dia alat mainan menyusun atau gegelung tetingkat dan lihat jika dia menyusunnya atau melonggokkannya atau memberikannya semula kepada anda.

Menangani pemisahan

Kini dan pada beberapa bulan berikutnya merupakan kemuncak kebimbangan pemisahan. Walaupun ia adalah normal bagi bayi berusia sembilan bulan untuk menunjukkan hubungan yang sangat rapat dengan anda dan menjauhkan diri daripada orang lain, ia adalah sukar bagi datuk, nenek dan pengasuhnya. Anda boleh membantu memudahkan peralihan anak anda dengan memberitahu orang lain supaya mendekatkan diri secara perlahan-lahan dan membiarkan bayi anda memulakan langkah yang pertama.

Jika anak anda menghisap satu ibu jari atau puting untuk menenangkan dirinya atau tidur semasa dia cuba menangani kebimbangannya, itu adalah okey. Menghisap jari merupakan satu-satunya cara bayi anda menenangkan dirinya sendiri.

Cuba untuk membuat perjalanan

Ini merupakan usia yang sukar untuk membuat perjalanan dengan bayi anda. Bayi anda menyukai perkara yang boleh dijangka dan perjalanan akan menganggu rutinnya. Jika anda membuat perjalanan, bersiap sedialah untuk berhadapan dengan anak anda yang perengus dan suka berkepit dengan anda. Sediakan pelbagai barang untuk mengalih perhatiannya -- buku bergambar, alat mainan yang membuat bunyi bising dan lebih penting lagi, objek sekuritinya. Dan jika dia menggunakan puting, lebih baik jika anda membawanya bersama: selalunya ia tidak dapat dijumpai semasa anda amat memerlukannya.

Pemahaman bahasa

Perkataan-perkataan yang didengari semenjak dia dilahirkan mula mencurah-curah daripada anak anda. Sekarang, pemahaman bayi anda mengenai perkataan adalah melangkaui kebolehannya menggunakannya dan agahan anak anda akan mula kedengaran seakan-akan perkataan sebenar, termasuklah "ma" dan "da." (Jangan berasa terlalu seronok lagi – mungkin ia bukanlah perkataan yang sebenar, hanya pelbagai bunyian yang selalu digunakannya.)

Pada usia ini, bayi anda masih lebih memahami tona suara anda daripada perkataan sebenar yang anda gunakan. Lebih banyak anda bercakap dengannya – semasa menyediakan makan malam, memandu atau bersiap – lebih banyak yang dipelajari oleh bayi anda mengenai komunikasi. Malah, satu kajian mendapati bahawa peramal paling baik mengenai kebijaksaannya di masa hadapan ialah jumlah perkataan yang didengarinya setiap hari. Sudah tentu, perbualan dan masa yang diluangkan semasa menonton TV tidak boleh diambil kira – untuk membantu pemahaman bayi anda, dia mesti mendengar perkataan dan bahasa yang digunakan secara interaktif.

Pada usia sembilan bulan, bayi mula memahami perkataan “tidak” tetapi dia mungkin tidak akan mematuhinya lagi. Walau bagaimanapun, dia akan bertindak balas kepada namanya dengan memandang sekelilingnya atau dengan menghentikan apa yang sedang dilakukannya untuk mengetahui siapa yang memanggilnya. Kukuhkan kelakuan mengecamnya dengan menyebut namanya dengan kerap.


Biodinar

www.biodinar.com/Layina Borang Pendaftaran KeAhlian BioDinar www.biodinar.com/Layina