Welcome

Sunday, 30 October 2011

BERJALAN

Berjalan

Belajar berjalan adalah langkah yang besar ke arah berdikari, ianya salah satu perkembangan yang paling penting dalam hidup anak anda. Apabila dia beralih dari berdiri tersandar pada perabot ke berjalan terhuyung-hayang menuju tangan terbuka anda sehingga ke berlari, dan melompat dengan penuh keyakinan, dia sudah meninggalkan zaman bayinya.

Bila ia berkembang

Pada tahun pertamanya, bayi anda akan beransur-ansur mendapat koordinasi dan kekuatan otot seluruh badannya, serta belajar duduk, meniarap, dan merangkak sebelum boleh menarik dirinya naik dan berdiri pada sekitar usia lapan bulan.

Dari situ, dia hanya memerlukan keyakinan dan keseimbangan – kebanyakan bayi membuat langkah pertama mereka di antara usia sembilan dan 12 bulan, dan pandai berjalan bila mereka berusia 14 atau 15 bulan.

Jangan risau jika anak anda mengambil masa yang lebih lama, kerana ramai kanak-kanak yang normal juga tidak berjalan sehingga mereka berusia 16 atau 17 bulan.

Bagaimana ia berkembang

Dalam beberapa bulan yang pertama, apabila anda mengangkat bayi anda dengan memegang bawah ketiaknya, dia akan menendang mana-mana permukaan yang disentuh kakinya, hampir kelihatan seperti berjalan. Tetapi ini cuma tindakan refleks – kakinya tidak cukup kuat untuk menampung berat badannya – dan tindakan refleks ini akan hilang selepas dua bulan.

Apabila bayi anda berusia lima bulan, jika anda memegangnya dengan kakinya tersentuh paha anda, dia akan terenjut-enjut turun naik. Mengenjut-enjut akan menjadi aktiviti kegemarannya untuk beberapa bulan yang akan datang, malah, sewaktu otot kaki bayi anda terus berkembang apabila dia belajar meniarap, duduk dan merangkak.

Pada sekitar usia lapan bulan, bayi anda akan menarik dirinya naik berdiri sambil berpegang pada perabot. Jika anda sandarkannya bersebelahan sofa, dia akan berpaut pada sofa sekuat-kuat hatinya. Selepas beberapa minggu apabila dia sudah biasa dengan kemahiran ini, dia akan mula bergerak ke sana-sini secara tegak dengan berpegang pada perabot – dan mungkin juga boleh melepaskan tangan dan berdiri tanpa sokongan. Sebaik sahaja dia sudah boleh berdiri, dia akan cuba mengambil langkah untuk berjalan ketika dipegang dan dia mungkin akan cuba mengutip mainannya dari posisi berdiri.

Pada usia sembilan atau 10 bulan, bayi anda akan mula belajar membengkokkan lututnya dan bagaimana caranya untuk duduk selepas berdiri (sebenarnya lebih sukar daripada yang anda sangka!).

Pada usia 11 bulan, bayi anda mungkin sudah mahir berdiri berseorangan, membongkok dan mencangkung. Dia mungkin akan berjalan sambil memegang tangan anda, namun dia tidak akan berjalan seorang diri buat beberapa minggu lagi. Kebanyakan kanak-kanak membuat langkah awal mereka berjengket-jengket dengan kaki mereka terhala ke luar.

Pada usia 13 bulan, tiga perempat daripada semua kanak-kanak sudah boleh berjalan sendiri – walaupun terhuyung-hayang. Jika anak anda masih berjalan berpaut pada perabot, ianya hanya bereti ia akan mengambil sedikit masa lagi sebelum dia berjalan sendiri. Sesetengah kanak-kanak tidak berjalan sehingga mereka berusia 16 atau 17 bulan, atau lebih lambat lagi.

Apa perkembangan seterusnya

Selepas langkah pertama ke arah berdikari, kanak-kanak akan mula menguasai tujuan lebih mendalam erti mobiliti:

• Pada usia 14 bulan, anak anda patut berupaya berdiri bersendirian, boleh membongkok ke bawah dan berdiri tegak semula, dan mungkin sudah mula belajar berjalan berundur.

• Biasanya kanak-kanak pada usia 15 bulan sudah pandai berjalan dan suka menolak dan menarik mainan ketika berjalan.

• Pada usia sekitar 16 bulan, anak anda akan mula berminat menaiki dan menuruni tangga – namun dia tidak dapat menguasai kemahiran ini untuk beberapa bulan lagi.

• Kebanyakan kanak-kanak 18 bulan sudah mahir berjalan. Ramai boleh naik tangga dengan sedikit bantuan (tetapi mereka memerlukan pertolongan untuk turun tangga selama beberapa bulan lagi) dan gemar memanjat perabot. Anak anda mungkin akan cuba menendang bola, tetapi tidak akan selalu berjaya, dan mungkin dia juga suka menari jika anda pasang muzik.

• Pada usia 25 atau 26 bulan, langkah anak anda akan menjadi lebih sekata dan dia akan dapat berjalan menggunakan pergerakan lancar golekan tapak kaki dari tumit ke jari kaki yang digunakan orang dewasa. Pada usia ini juga dia akan lebih mahir melompat.

• Apabila harijadi anak anda yang ketiga sampai, kebanyakan pergerakan asasnya sudah menjadi kebiasaan. Dia tidak lagi perlu memfokuskan tenaganya pada berjalan, berdiri, berlari atau melompat, tetapi sesetengah aksi, seperti berjengket atau berdiri atas sebelah kaki, mungkin masih memerlukan konsentrasi dan usaha.

Peranan anda

Semasa bayi anda belajar berdiri, dia mungkin memerlukan sedikit bantuan untuk belajar cara kembali duduk. Jika dia tersangkut dan memanggil anda, jangan hanya mengangkatnya dan letakkannya terduduk sahaja. Sebaliknya, tunjukkan cara bagaimana membengkokkan lututnya supaya dia boleh duduk tanpa terjatuh, dan biarkan dia mencubanya sendiri.

Anda boleh menggalakkan bayi anda berjalan dengan berdiri atau melutut di depannya dan menghulurkan tangan anda, dengan memegang kedua-dua tangannya dan menjalankannya ke arah anda, atau dengan membeli sebuah mainan yang dia boleh pegang dan tolak supaya berjalan (dapatkan mainan yang stabil dan bertapak sokongan luas).

Oleh kerana walker bayi terlalu mudah digerakkan, ianya akan menghalang otot paha anak anda berkembang dengan betul, jadi sesetengah pakar tidak menggalakkan penggunaannya.

Anda juga boleh tangguhkan memakai kasut sehingga bayi anda sudah selalu berjalan di luar rumah atau atas permukaan yang kasar dan sejuk; berkaki ayam menolong memperbaiki keseimbangan dan koordinasinya.

Seperti selalu, pastikan bayi anda ada persekitaran yang lembut dan selamat untuk memupuk kemahiran barunya. Ikuti garis panduan biasa menjadikan rumah selamat untuk kanak-kanak dan jangan biarkan bayi anda tanpa pengawasan, sekiranya dia terjatuh atau memerlukan pertolongan anda.

Bila harus bimbang

Seperti yang telah dikatakan di atas, sesetengah kanak-kanak yang normal tidak berjalan sehingga mereka mencapai usia 16 atau 17 bulan. Perkara yang penting ialah kemajuan kemahirannya; jika bayi anda lambat meniarap dan merangkak, barangkali dia akan memerlukan beberapa minggu atau bulan yang ekstra untuk tahu berjalan juga – selagi dia masih belajar kemahiran baru, anda tidak perlu terlalu bimbang.

Semua bayi berkembang secara berlainan, ada yang lebih cepat berbanding yang lain, tetapi jika bayi anda kelihatan jauh ketinggalan, bincangkanlah dengan doktor anda. Ingatilah bahawa bayi pramatang mungkin akan mencapai tahap ini serta tahap-tahap yang lain lebih lambat berbanding bayi lain.

Sunday, 23 October 2011

Gigi oh Gigi

Dah lama ku nantikan gigi anankku,baru 3 hari lepas tumbuh,puhhh ade gak gigi...agak lewat la kot gigi tumbuh, kebiasaannya bayi 4 atau 5 bulan dah ada 2 batang gigi. Tidak anakku dah berusia 10 bulan baru ada gigi,tapi tak pe dari tak de langsung..hehehehe..

Suka la dia main gigit-gigit almaklumlah dah ade gigi..

Langkah Diatur...

Tanggal 23/10/2011 pada pukul 10.30 malam,Layyina Hanin mula mengatur langkah pertama tanpa berpegang pada benda seperti dinding,kerusi,meja,kereta sorong dan sebagainya.

Layyina Hanin yang berusia 10 bulan dah mula atur langkah pertama. waaauuu hebat tu n terpegung sesangat-sangat...ibu mana yang tak happy bila anak dah membesar, kaki jalan mulut pun bunyi la..

Hanin : ta teh,ta teh,ta teh (sambil jalan)

Perkembangan bayi anda pada usia 12 bulan

Langkah-langkah pertama bayi

Pencapaian bayi yang paling utama sudah hampir tiba – pada bila-bila masa di bulan ini bayi anda mungkin akan mula mengambil langkah-langkah pertamanya (sesetengah bayi tidak akan berjalan untuk beberapa minggu atau bulan lagi, jadi janganlah risau sekiranya status bayi anda belum lagi berubah kepada bayi yang boleh berjalan pada bulan ini). Kebanyakan kanak-kanak mengambil langkah awal mereka dengan berjengket sambil mengarah kaki mereka ke luar. Sudah tentu anda tidak mahu terlepas peluang untuk mencatatkan saat ini, jadi bersedialah dengan kamera anda. Pada waktu ini juga, bayi anda sudah pandai makan sendiri dan menggunakan sudu, walaupun belum begitu cekap dan makanan seringkali tidak sampai ke mulutnya.

Permainan baru bayi

Pada masa ini, permainan bayi anda mula berubah dari permainan yang membangunkan kemahiran motor halus (dia sudah mahir mencengkam dengan ibu jari dan jari telunjuknya) dan mula beralih kepada permainan yang melatih otot-otot yang lebih besar. Sesetengah kanak-kanak pada umur ini sudah boleh menumpukan perhatian kepada aktiviti-aktiviti yang senyap selama dua hingga lima minit – walaupun bayi anda mungkin lebih gemarkan permainan yang bukan jenis senyap.

Memang, bagi bayi anda, perbuatan menolak, membaling dan melanggar semua benda dan membuatnya jatuh merupakan satu perkara yang menyeronokkan. Dia suka memberikan anda alat mainan tapi dia juga akan mengambil alat mainan daripada anda, dan dia juga suka meletakkan barang seperti bongkah ke dalam bekas dan mengeluarkan semuanya semula. Periuk dan kuali juga boleh digunakan untuk ini – dia pandai meletakkan periuk yang kecil ke dalam periuk yang lebih besar dan akan seronok mendengar bunyi bising yang terhasil apabila periuk dan kuali berlaga-laga.

Memudahkan waktu tidur

Salah satu perkara yang menyenangkan semasa membesarkan bayi ialah apabila sampai waktu untuk tidur - masa yang anda boleh gunakan untuk berehat dan mengembalikan tenaga anda. Tetapi, apabila bayi anda menghampiri hari jadi pertamanya dia akan semakin enggan untuk tidur di siang hari¸ dan kemahuan berdikari ini akan membuatkan bayi anda meragam semasa waktu tidur.

Mengikuti rutin tidur yang tetap, seperti mandian atau membaca buku cerita sebelum tidur, mungkin boleh membantu bayi anda tidur. Elok jika diadakan ”urutan” yang konsisten bagi rutin tidur ini. Berikan bayi makan, mandikan dia, pakaikan pakaian tidur, bermainlah dengannya, atau bacakan buku cerita, atau nyanyikan lagu, mainkan muzik dan kemudian barulah baringkan dia di katilnya. Apa sahaja langkah yang diambil, jadikan ia satu rutin yang tetap, yang juga memberikan anda dan bayi anda masa yang lebih panjang untuk bermesra dan berehat. Anda juga boleh bersilih ganti menjalankan rutin tidur ini bersama suami anda (anda mandikan bayi, suami anda membacakan buku cerita dan lain-lain cara) pada setiap malam, atau, untuk meringankan tugas dan membenarkan anda berdua berehat beberapa kali seminggu, cuba menidurkan bayi anda secara bergilir-gilir.

Sukar berpisah

Beberapa bulan kebelakangan ini, anak anda mungkin menunjukkan perangai meragam disebabkan bimbang berpisah. Ini perkara biasa: dia menyayangi anda dan memerlukan anda, jadi dia akan berasa tertekan apabila anda meninggalkannya. Untuk memudahkan proses pemisahan, cuba minta pengasuh datang lebih awal supaya bayi anda mempunyai masa untuk membiasakan diri dengannya. Tinggalkan dia secara bersahaja saja dan jangan menyulitkan keadaan dengan memanjangkan ucapan selamat tinggal anda; lakukannya dengan cepat, iaitu hanya dengan satu ciuman. Bayi anda akan berhenti menangis apabila anda hilang dari pandangannya.

Anda boleh membantu bayi anda untuk lebih berdikari dengan tidak menunggu dekatnya setiap masa. Jika dia bertatih ke bilik yang lain, tunggulah beberapa minit sebelum mengikutinya. Jika anda pergi ke bahagian lain dalam rumah anda, panggil bayi anda datang kepada anda apabila anda sudah berada di bilik itu – dan jangan bekejar-kejar kepadanya setiap kali dia menjerit. Bukanlah perkara yang terbaik untuk bayi anda untuk mendapat kebebasan sepenuh daripada ayah dan ibu; anda tentu mahu dia memahami yang dia boleh bergantung kepada anda bila-bila masa, dan, walaupun dia menyedari kehadiran dan pemergian anda, ini tidak begitu mengganggukan dia.

Lebih memahami bahasa

Walaupun pada tahap ini bayi hanya boleh bertutur beberapa perkataan selain ”mama” dan ”dada”, didapati kebanyakan bayi yang berusia satu tahun boleh menyebut ayat pendek dengan menggunakan nada yang betul walaupun kedengaran seperti bahasa asing.

Pada masa ini, bayi anda sudah boleh memberi respon kepada soalan dan arahan yang mudah, terutamanya jika anda membantunya dengan menggunakan pelbagai isyarat tangan. Contohnya, tanyalah “Di mana mulut kamu?” dan tunjukkan ke arah mulutnya. Atau cuba, “Tolong ambilkan cawan” dan tunjukkan ke arah objek itu. Bayi anda mungkin menjawab dengan caranya tersendiri, dengan menggunakan isyarat juga, seperti menggelengkan kepala untuk menyatakan “tidak”.

Gunakan potensi penerimaan yang ada pada bayi anda sekarang untuk mula mengajarnya bersopan santun dan membina sikap suka membantu. Tekankan pentingnya kata-kata “sila” atau ”boleh ke?” dan “terima kasih”. Di samping itu, jadikan waktu mengemas alat mainan bayi anda satu masa yang menyeronokkan dengan menjadikannya satu aktiviti mainan. Walaupun bayi anda mungkin kurang faham akan maksud anda, bukanlah terlalu awal untuk membentuk tabiat ini.

Memberi nama kepada benda-benda

Anda memainkan peranan penting dalam membantu bayi anda menghubung kaitkan objek dan nama sesuatu objek itu - semakin kerap anda melakukannya, semakin cepat perbendaharaan kata bayi anda akan berkembang. Sentiasalah bercakap dengan bayi anda dan menamakan benda. Apabila menaiki tangga, kira bilangan tangga satu persatu dan jika berada di pasar raya tunjukkan nama dan warna buah-buahan dan sayur-sayuran yang ada. Bacakan buku bergambar dan minta dia tunjukkan atau namakan objek yang dikenalinya. Pastikan anda memberikan dia pilihan sekali-sekala. Tanya bayi anda sama ada dia mahu memakai stoking berwarna merah atau biru; dia hendak bermain dengan bongkah atau gegelung bertingkatnya. Dia mungkin tidak akan menjawab, tetapi kemungkinan juga dia akan menggembirakan anda dengan menjawab apabila tidak dijangka.

Biodinar

www.biodinar.com/Layina Borang Pendaftaran KeAhlian BioDinar www.biodinar.com/Layina