Welcome

Saturday 9 July 2011

Perkembangan bayi usia 11 bulan

Berdikari secara fizikal

Sekarang, cuma tinggal satu bulan saja sebelum harijadi pertama bayi anda dan anda harus sedar yang dia bukan lagi seorang yang tidak boleh bertindak sendiri tanpa anda. Walaupun dia masih memerlukan banyak jagaan dan bantuan, tetapi tahap berdikarinya kian meningkat – jelas apabila melihat dia berdiri, membongkok dan mencangkung – yang semakin menonjol. Dia mungkin boleh berjalan dengan memegang tangan anda dan dia akan mengulurkan lengan atau kakinya untuk membantu anda memakaikan pakaiannya. Pada waktu makan, dia mungkin boleh memegang cawan dan minum sendiri (walaupun sesetengah kanak-kanak tidak boleh membuat ini untuk beberapa bulan lagi) dan boleh menyuap dan menghabiskan makanannya dengan sendiri.
 
Apa yang menarik ialah, apabila anak anda pandai memegang cawan dan minum sendiri, masa inilah anda mesti belajar bagaimana nak mengelak, sebab sudah tentu dia akan melontarkan saja cawan itu apabila selesai walaupun ada kalanya dia meletakkan cawan secara lembut. Dia juga akan menjatuhkan objek dengan sengaja untuk dikutip oleh orang lain, barangkali mengharapkan anda juga.
 

Buku untuk si pembaca kecil

Bayi anda seronok melihat buku, walaupun dia tidak akan membukakannya sehelai demi sehelai. Dia juga akan mempunyai buku kegemarannya yang dia akan mahu mengulangi berulang-kali.
 

Membentuk peribadinya sendiri

Pada usia ini, bayi anda mula menjadi asertif dengan adik-beradiknya dan mula menyertai permainan secara selari – bermain hanya di sampingan (tetapi bukan bersama) kanak-kanak yang lain. Dia juga akan memilih sesuatu selimut atau anak patung lembut sebagai objek sekuriti untuk mendampinginya.
 

Tiba masanya untuk menetapkan batasan

Bayi anda mungkin sudah boleh memahami arahan mudah dan dengan sengaja akan memilih untuk tidak mendengar cakap anda apabila anda mengatakan “tak boleh.” (Untuk menegaskan ungkapan tersebut, hanya gunakannya untuk perkara-perkara yang betul-betul merbahaya.) Walaupun pada keesokan harinya, bayi anda tidak akan ingat lagi apa yang anda katakan pada hari ini, namun, bukanlah terlalu awal untuk anda menetapkan batasan-batasan dan mula mengajarnya apa yang betul dan apa yang tidak.
 
Anda bukannya bersikap kejam jika anda tidak membenarkannya makan satu keping kek lagi; anda hanya menetapkan batasan. Jika dia menarik ekor anak kucing, alihkan tangannya, pandang mukanya dengan serius dan katakan, “Jangan, itu menyakitkan kucing.” Kemudian, ambil tangannya dan tunjuklah dia bagaimana untuk membelai kucing dengan lembut. Dia lebih suka meneroka daripada mendengar amaran anda, jadi anda mesti bijak mencari jalan untuk melindungi dan mengajarnya. Apa yang anda terlihat seakan-akan bantahan, sebenarnya bukan begitu; ia hanyalah perasaan semulajadinya untuk mengetahui bagaimana dunia sekelilingnya bergerak dan wujud.
 

Bercakap tak terhingga

Bunyi-bunyi perkataan dan bunyi yang mirip perkataan akan diungkapkan oleh bayi anda – dan digunakan secara bermakna. Apabila lobus frontal otak bayi anda bertumbesar, serentak dengan keupayaan kognitif tinggi seperti penaakulan dan pertuturan, adalah baik jika anda dapat menggalakkan minatnya terhadap bahasa dengan mendengar bersungguh-sungguh dan membalas kata-kata dan celotehnya. Interaksi seperti ini adalah penting untuk membiasakannya dengan komunikasi dua hala. Bermain permainan bertepuk-tepuk tangan, contohnya patta-cake dan permainan sekejap-nampak, sekejap-tidak atau peek-a-boo akan membantunya menajamkan daya ingatannya.
 
Pada usia ini, bayi anda mungkin boleh mengajuk bunyi perkatan serta infleksi bunyi dan juga tingkah-laku tertentu. Dia juga mungkin boleh mematuhi arahan mudah seperti "Tolong ambilkan saya bola itu" atau "Angkat sudu itu." Bantu dia belajar dengan memberi arahan secara mudah, langkah demi langkah supaya senang diikuti.
 
Hargailah masa yang singkat tetapi istimewa ini, iaitu semasa kemahiran komunikasi bayi anda sedang berkembang. Ini boleh dikatakan kebolehan yang paling penting yang diperolehi olehnya.

Perkembangan bayi usia 10 bulan

Melakukan pergerakan yang lebih banyak

Ketika bayi berusia 10 bulan, dia selalunya boleh merangkak dengan baik menggunakan tangan dan lututnya, dengan anggota-anggotanya lurus dan tubuhnya selari dengan lantai. Banyak juga bayi yang cuba merangkak sebelum usia 10 bulan tetapi hanya dapat melakukannya dengan baik pada usia ini. Pada usia ini juga, bayi anda boleh duduk dengan yakin dan mungkin boleh berjalan sambil memegang perabot, dan mungkin juga dapat melepaskan pegangannya seketika dan berdiri tanpa sokongan.

Apabila bayi sudah dapat berdiri dengan mengimbangkan badannya, sambil menggunakan objek lain untuk mengekalkan posisi, dia juga akan mencari cara-cara untuk naik ke atas perabot dan juga merangkak naik tangga. Semasa berada dalam posisi berjalan dia akan mengambil langkah dan akan cuba mencapai alat mainan dari posisi berdiri. Langkah-langkah pertama yang menakjubkan ini sebelum dia mencapai perkembangan penuh – yang akan memberi anda senaman yang cukup! – akan tiba tidak lama lagi.
 

Memegang dengan jari-jemarinya

Jari-jemari bayi anda menjadi semakin lincah. Dia boleh mengangkat objek kecil menggunakan ibu jari dan jarinya dengan tidak perlu mengampukan pergelangan tangannya di atas permukaan yang keras. Dia berminat dengan barang-barang kecil dan akan menjilat-merasanya; ini adalah okey selagi barang itu boleh dimakan dan tidak terlalu kecil sehingga menyebabkan bayi anda tercekik.
 

Personaliti yang berkembang

Personaliti bayi anda sedang berkembang dengan cepat sekarang. Dia akan mula menjadi sangat sosial, memberikan senyuman besar kepada semua orang atau sebaliknya menjadi lebih penyegan dan menyembunyikan mukanya apabila berjumpa dengan orang yang tidak dikenali. Dia akan mengulangi bunyi, memberikan tanda isyarat tertentu untuk mendapatkan perhatian anda dan mungkin akan melambai-lambai selamat jalan apabila melihat anda menuju ke pintu. Dia juga boleh berfikir dengan sendiri, dan anda akan menyedari ini apabila dia membantah jika diletakkannya dalam kerusi bayi dalam kereta atau dalam kereta tolaknya.
 

Menangani ketakutan bayi anda

Ada masa-masanya bayi anda akan takut dengan perkara-perkara yang dia tidak faham atau perkara biasa yang sebelum ini tidak menganggunya, seperti bunyi loceng atau telefon. Apabila ini berlaku, perkara yang paling penting yang dilakukan oleh seorang ibu atau bapa ialah bagi menenangkan bayi anda serta meyakinkan dia yang anda ada di situ dan tiada apa-apa yang akan berlaku kepadanya.
 

Bercakap dengan bayi anda yang ‘bermulut murai’

Bayi anda sudah mula memahami banyak perkataan dan frasa yang mudah, jadi adalah amat penting untuk anda terus bercakap dengannya. Berikan bayi anda asas kukuh dalam menggunakan struktur ayat yang baik dengan mengulangi sebutannya dahulu, kemudian menyatakan perkara yang sama tetapi menggunakan bahasa yang betul. Sebagai contoh, jika dia meminta "baubau," ulangilah, dengan cara lembut, sebutan yang betul dengan menanyakan, "Adakah kamu mahu minuman?" Pada peringkat ini, perkara paling baik ialah untuk mengelakkan penggunaan percakapan bayi – yang sememangnya menarik, tetapi ingatlah bahawa adalah lebih baik untuk perkembangan bayi anda jika dia mendengar sebutan yang betul.
 
Walaupun kadang-kala anda akan berasa pelik untuk berbual dengan bayi anda, ini sebenarnya adalah cara terbaik untuk menggalakkan kemahiran bahasanya. Apabila dia mengeluarkan ayat secara meraban, jawablah "Oh, ya ke? Pandainya." Sudah tentu dia akan respon dengan gembira dan meneruskan percakapannya. Lambat laun, anda akan dapat mengenali beberapa perkataan atau tanda isyarat yang boleh difahami, di samping lain bentuk komunikasi seperti menunjuk atau berdengus dengan cara tertentu.
 
Memberikan bayi anda deskripsi terperinci mengenai apa yang sedang anda lakukan juga merupakan satu amalan yang baik, seperti menceritakan aksi anda sedang menghiris bawang untuk masakan atau melipat kain. Sambil anda meletakkan bayi anda ke dalam kereta tolaknya, katalah, "Sekarang, mak nak letakkan kamu ke dalam kereta tolak biru. Sekarang, ibu akan mengancingkan kamu dan membuatkan kamu selesa. Okey dah, jom kita ke taman." Anda juga boleh menyanyikan lagu kanak-kanak dengan melakonkan aksi sesuai (sebagai contoh, melambai untuk "selamat tinggal") supaya dia belajar mengenali kata-kata dan frasa-frasa asas.
 
Bayi akan mula memahami konsep hubung kait. Apabila ini berlaku, dia akan turut menepuk tangannya apabila anda menepuk tangan atau dia mula mengatakan "mama" apabila memandang anda dan "dada" apabila ayahnya masuk ke bilik (walaupun pada mulanya, dia akan menggunakan nama-nama ini secara sembarangan).

Saturday 2 July 2011

Perkembangan bayi usia 9 bulan

Hampir berjalan

Bayi anda semakin hampir untuk berjalan sepenuhnya. Pada usia ini, dia mungkin akan boleh merangkak naik tangga dan berjalan-jalan (meronda-ronda dalam posisi tegak sambil memegang perabot). Sesetengah bayi yang berusia sembilan bulan mungkin sudah boleh mengambil beberapa langkah ke depan - dengan dibantu. Bayi anda juga belajar bagaimana untuk membengkokkan lututnya dan bagaimana untuk duduk selepas berdiri (satu perkara yang lebih sukar untuk dipelajari daripada apa yang dijangkakan!).

Anda boleh membantu bayi anda dengan berdiri atau melutut di hadapanya dan menghulurkan tangan anda sebagai galakan, sambil memegang kedua-dua tangannya dan membuatkannya berjalan ke arah anda atau dengan membeli mainan membantu bertatih atau alat yang serupa dengannya yang mana bayi anda boleh pegang dan tolak (cari alat bertatih yang stabil dan mempunyai tapak yang lebar.)

Menyediakan rumah anda supaya selamat untuk kanak-kanak adalah suatu kemestian sekarang. Anda boleh mulakan dengan meletakkan selak pada pintu almari yang dilarang untuk dibuka oleh bayi -- selalunya bayi suka bermain dengannya.

Kasut? Belum lagi

Apabila bayi-bayi mula berdiri dan berjalan, kebanyakan ibu bapa akan tertanya-tanya jika perlu memakaikannya kasut. Sehingga bayi anda sudah biasa berjalan di luar kawasan rumah, kebanyakan pakar-pakar merasakan ianya tidak perlu. Berkaki ayam/berjalan tanpa kasut bukan hanya menguatkan otot tapak kaki dan kaki tetapi juga memudahkan bayi anda menyeimbangkan diri apabila kakinya bebas merasakan semua tekstur permukaan jalannya.

Bermain dan belajar

Sekarang, bayi anda boleh meletakkan objek ke dalam bekas dan mengeluarkannya. Berikannya timba plastik dan beberapa bongkah berwarna-warni (pastikan ianya tidak terlalu kecil sebab dia boleh menelannya) supaya dia boleh berlatih kemahiran barunya ini. Dia juga suka alat mainan dengan bahagian yang bergerak, seperti roda, tuil atau pintu yang boleh dibuka dan ditutup. Kereta plastik besar yang boleh ditolak oleh bayi anda di atas lantai merupakan alat mainan kegemaran bayi lelaki dan juga perempuan.
Jika anda mengambil alat mainan daripadanya, selalunya bayi anda yang semakin mendesak akan membantah. Dia akan mula menunjukkan apa yang dia perlu dan mahukan.
Kira-kira separuh daripada bayi yang berusia sembilan bulan akan memulakan permainan hantaran, memberikan alat mainan dan mengambilnya kembali. Jadilah rakan sepermainannya. Cuba mengolekkan bola kepada bayi anda apabila anda bermain di atas lantai dan lihat jika dia menggolekkannya kembali kepada anda. Berikan dia alat mainan menyusun atau gegelung tetingkat dan lihat jika dia menyusunnya atau melonggokkannya atau memberikannya semula kepada anda.

Menangani pemisahan

Kini dan pada beberapa bulan berikutnya merupakan kemuncak kebimbangan pemisahan. Walaupun ia adalah normal bagi bayi berusia sembilan bulan untuk menunjukkan hubungan yang sangat rapat dengan anda dan menjauhkan diri daripada orang lain, ia adalah sukar bagi datuk, nenek dan pengasuhnya. Anda boleh membantu memudahkan peralihan anak anda dengan memberitahu orang lain supaya mendekatkan diri secara perlahan-lahan dan membiarkan bayi anda memulakan langkah yang pertama.

Jika anak anda menghisap satu ibu jari atau puting untuk menenangkan dirinya atau tidur semasa dia cuba menangani kebimbangannya, itu adalah okey. Menghisap jari merupakan satu-satunya cara bayi anda menenangkan dirinya sendiri.

Cuba untuk membuat perjalanan

Ini merupakan usia yang sukar untuk membuat perjalanan dengan bayi anda. Bayi anda menyukai perkara yang boleh dijangka dan perjalanan akan menganggu rutinnya. Jika anda membuat perjalanan, bersiap sedialah untuk berhadapan dengan anak anda yang perengus dan suka berkepit dengan anda. Sediakan pelbagai barang untuk mengalih perhatiannya -- buku bergambar, alat mainan yang membuat bunyi bising dan lebih penting lagi, objek sekuritinya. Dan jika dia menggunakan puting, lebih baik jika anda membawanya bersama: selalunya ia tidak dapat dijumpai semasa anda amat memerlukannya.

Pemahaman bahasa

Perkataan-perkataan yang didengari semenjak dia dilahirkan mula mencurah-curah daripada anak anda. Sekarang, pemahaman bayi anda mengenai perkataan adalah melangkaui kebolehannya menggunakannya dan agahan anak anda akan mula kedengaran seakan-akan perkataan sebenar, termasuklah "ma" dan "da." (Jangan berasa terlalu seronok lagi – mungkin ia bukanlah perkataan yang sebenar, hanya pelbagai bunyian yang selalu digunakannya.)

Pada usia ini, bayi anda masih lebih memahami tona suara anda daripada perkataan sebenar yang anda gunakan. Lebih banyak anda bercakap dengannya – semasa menyediakan makan malam, memandu atau bersiap – lebih banyak yang dipelajari oleh bayi anda mengenai komunikasi. Malah, satu kajian mendapati bahawa peramal paling baik mengenai kebijaksaannya di masa hadapan ialah jumlah perkataan yang didengarinya setiap hari. Sudah tentu, perbualan dan masa yang diluangkan semasa menonton TV tidak boleh diambil kira – untuk membantu pemahaman bayi anda, dia mesti mendengar perkataan dan bahasa yang digunakan secara interaktif.

Pada usia sembilan bulan, bayi mula memahami perkataan “tidak” tetapi dia mungkin tidak akan mematuhinya lagi. Walau bagaimanapun, dia akan bertindak balas kepada namanya dengan memandang sekelilingnya atau dengan menghentikan apa yang sedang dilakukannya untuk mengetahui siapa yang memanggilnya. Kukuhkan kelakuan mengecamnya dengan menyebut namanya dengan kerap.


Perkembangan bayi usia 8 bulan

Duduk, merangkak dan berdiri

Sekarang, bayi anda sudah berusia lapan bulan jadi dia sudah mula duduk dengan baik tanpa dibantu dan mungkin sudah merangkak atau bergerak ke sana sini dengan menyeret punggungnya (punggung bergeser laju, tangan diletak ke belakang dan kaki ke depan digunakan untuk berlonjak). Bayi anda juga mungkin sudah boleh menarik badan naik ke atas untuk berdiri sambil berpegang kepada perabot. Malah, jika anda dirikan bayi anda di tepi sofa, dia mungkin boleh mengekalkan kedudukan berdiri ini sambil menahan sedaya upaya supaya tidak terjatuh dengan menggunakan perabot untuk bergantung.
Kebolehan bergerak yang baru diperolehi ini menunjukkan bahawa bayi anda sudah mula menempuhi fasa pergerakan langgar dan tumbang. Ini adalah sebahagian daripada tumbesaran kanak-kanak yang tidak dapat dielakkan, dan walaupun kadang-kala jantung anda tersentak sebentar, jangan bimbang, malah cubalah menikmati bagaimana bayi anda menerokai persekitarannya dan menyedari batas-batasnya. Jika anda dapat menahan gerak hati anda daripada melindungi bayi anda, ini membolehkan dia membesar dan belajar secara sendiri. Walau bagaimanapun, anda haruslah berusaha untuk memastikan rumah anda selamat untuk bayi anda. Sebagai contoh, anda perlu melindungi objek-objek yang mudah pecah (supaya tidak jatuh) dan menyimpan perabot yang kurang kukuh di dalam bilik yang jarang dimasuki oleh bayi.

Menggunakan tangan

Bayi anda akan cuba mencari objek yang telah jatuh dan menggunakan jari telunjuknya untuk menunjuk ke arah objek itu. Kini, bayi anda juga mahir menggunakan jari jemarinya untuk mengaut sekeping makanan dan menggenggamnya dengan jari yang tertutup rapat, dan dia juga telah belajar membuka tangan dan jari-jemarinya secara sedar untuk menjatuhkan atau melontar objek. Dia mungkin akan mula memahirkan dirinya untuk pegangan menyepit, iaitu satu cara pengendalian yang rumit yang membolehkan dia mengambil objek kecil dengan ibu jari, jari pertama dan jari keduanya.

Sifat semakin emosional

Kini, emosi bayi anda adalah semakin jelas. Bayi anda mungkin akan melakukan pelbagai muslihat, contohnya, menghantar ciuman kepada orang yang dikenalinya, dan mungkin akan mengulangi perbuatan itu jika diberi tepukan. Bagi bulan-bulan yang seterusnya, bayi anda akan belajar memahami dan meniru emosi tertentu dan mungkin akan menunjukkan cetusan empatinya yang pertama. Contohnya, jika dia melihat seseorang menangis, dia juga mungkin akan mula menangis.

Apabila berpisah

Pada usia ini, kebanyakan bayi biasanya sudah mula menunjukkan tanda-tanda kebimbangan berpisah dengan ibunya. Bayi anda akan mula menjadi segan atau bimbang apabila berhadapan dengan orang asing, terutamanya jika dia penat atau meragam, dan jika anda tidak berada dekat dengannya atau bersamanya, dia akan susah hati. Walaupun anda tidak suka melihat bayi anda bersedih, adalah penting dibenarkan bayi anda melalui pengalaman ini. Masa-masa anda meninggalkan bayi anda dan kembali semula, anda membuktikan kepadanya bahawa anda akan sentiasa kembali, dan ini akan membantu bayi membina kepercayaan dan kebolehannya untuk merapatkan diri dengan orang lain.

Masa-masa anda meninggalkan bayi anda, ciumlah dan peluklah dia dan beritahunya bahawa anda akan kembali. Jika dia takut atau terus bersusah hati, ambil masa yang lebih lama untuk menenang dan meyakinkan dia. Sukar untuk tidak menangis apabila melihat bayi anda mula menangis, tetapi tangisan anda hanya akan memanjangkan lagi kerumitan ini. Elok juga jika terdapat orang yang biasa dengan bayi anda (pastikan bukan seorang pengasuh yang baru) untuk menenangkannya. Jika bayi anda menjadi gelisah apabila berpisah dengan anda pada waktu malam, luangkan lebih masa sebelum menidurkannya untuk memeluknya sambil membaca, berdakap dan menyanyi dengan lembut bersamanya.

Sesetengah bayi mudah untuk berpisah dan sesetengahnya tidak - ini bergantung kepada pembawaan mereka. Setiap anak adalah berbeza, begitu juga tahap penenteraman yang mereka perlukan. Jika anda dapati bahawa bayi anda memerlukan lebih penenteraman, janganlah rasa bersalah untuk melakukannya dan jangan juga bimbang jika anda perlu memanjangkan proses ini. Anda seorang yang mengenali bayi anda lebih daripada orang lain, jadi ikutlah kata hati anda.

Mengeksplorasi objek

Pada waktu ini, kebanyakan bayi akan meneroka objek dengan menggoncang, menghempas dan menjatuhkan objek sebelum kembali kepada cara pengujian yang paling baik baginya, iaitu mengunyah objek tersebut. Idea bahawa kita melakukan sesuatu kepada objek sudah mula timbul, oleh itu, elok sekiranya disediakan tempat di mana terdapat banyak barang yang boleh dibaling, dicucuk, dipusing, dipicit, digoncang, dijatuhkan dan dibuka oleh bayi anda dan ini akan measyikkannya.

Pada tahap ini, bayi-bayi suka melihat benda-benda jatuh, dipungut semula (tentu sekali anda yang memungutnya) dan dibaling semula. Bayi anda bukannya cuba membuat anda marah dengan perangainya ini; dia hanya mendapati perbuatan ini menarik dan mahu melihatnya berulang kali.

Kini, bayi anda juga faham bagaimana suatu objek berhubung kait dengan objek yang lain. Contohnya, dia menyedari bahawa benda yang lebih kecil boleh muat ke dalam benda yang lebih besar. Bayi anda akan dengan mudah mencari barang yang anda sembunyikan, dan dia akan menunjuk kepada gambar yang betul yang disuruh cari. Dan untuk beberapa bulan yang seterusnya, bayi anda akan mula menggunakan objek secara tepat - memberus rambutnya, minum dari cawan dan membebel dengan menggunakan telefon mainannya.

Penglihatan yang semakin baik

Bagi bayi anda penglihatannya kini hampir sama seperti orang dewasa dari segi kejelasan dan persepsi kedalaman. Walaupun penglihatan jarak dekatnya masih lebih sempurna daripada jarak jauhnya, penglihatannya sudah cukup baik untuk mengenali orang dan objek merentasi bilik.

Friday 1 July 2011

Perkembangan bayi usia 7 bulan

Melonjak-lonjak

Sekarang bayi anda sudah mampu menyokong sebahagian daripada berat badannya dengan kakinya dan dia sudah boleh melonjak-lonjak. Malah, dia boleh duduk tanpa diampu dengan tangannya (dan dengan itu membebaskan tangannya untuk meneroka) di samping dapat mengalihkan badan semasa duduk untuk mencapai objek. Dia mungkin boleh juga naik ke posisi duduk dari posisi baring dengan menolak ke atas sambil mengampu dengan lengannya.
 

Belajar memegang

Kemahiran motor halus bayi anda juga akan berkembang. Pada usia ini, dia sudah boleh mengangkat barang dengan sebelah tangan dan dengan mudah memindahkan barang itu ke tangan yang lain. Dia juga boleh mengenggam kedua tangannya dan menghirup air dari cawan bertangkai dua (dengan bantuan anda). Anda juga akan sedar bahawa suasana rumah lebih riuh dari biasa sebab dia sudah tahu betapa seronoknya melentung-lentungkan objek.

Untuk menggalakkan aktiviti motor halus, letakkan alat mainan jauh sedikit dari capaian bayi anda dan lihat bagaimana dia cuba mendapatkannya. Jika dia menangis sebab tidak dapat mencapainya, berikan galakan kepadanya – tapi elakkan dari memberi alat mainan itu. Sebenarnya, dia cuma melepaskan perasaan geram dan dalam sedikit masa akan menjadi lebih yakin dengan kebolehan fizikalnya jika anda tidak sentiasa membantunya sehingga semuanya menjadi terlalu mudah. Lazimnya, selepas mencuba beberapa kali, bayi akan berjaya menjangkau ke hadapan untuk mengambil mainan itu dan terus menegakkan badannya semula. Ini sudah tentu akan memberi galakan kepadanya dan dia akan mula menggoyangkan badannya ke hadapan dan ke belakang diampu oleh tangan dan kakinya dan dia juga mungkin akan merangkak atau berguling-guling untuk bergerak sampai mengelilingi bilik. Bantulah penerokaan dan pergerakan bayi anda dengan memastikan pakaiannya longgar dan selesa.

Tumbuh gigi

Pada masa ini bayi anda mula tumbuh gigi (ini berlaku secara amnya pada usia lima atau enam bulan, walaupun ia boleh bermula seawal tiga bulan atau selewat 12 bulan); dan pada masa ini anda akan dapat melihat dua gigi insisor tengah keluar di atas, diikuti dengan dua gigi insisor sisian. Jangan panik jika terdapat ruang di antara gigi-gigi bayi; ini disebabkan, kadangkala gigi menembusi gusi melalui sudut-sudut yang ganjil, dan apa yang berlaku ialah ruang-ruang itu akan hilang apabila kesemua 20 batang gigi bayi sudah menembusi keluar. Semasa bayi anda mula tumbuh gigi, anda akan melihat bahawa lelehan air liur bayi adalah berlebihan dan bayi juga akan membuat pelbagai bunyi-bunyian untuk menyesuaikan diri dengan benda-benda baru yang asing itu dalam mulutnya. 

Menguji autoriti anda

Menjelang waktu ini, anda mungkin telah cuba memberitahu bayi anda bahawa telefon itu bukanlah satu alat mainan. Atau mungkin di rumah anda, anda sering mengingatkan bayi bahawa mainan kelentungnya tidak boleh dicampakkan ke muka anda. Sebenarnya, pada usia ini, bayi anda sedang menguji autoriti anda, dan dia akan melakukan semua ini tanpa mematuhi arahan atau rayuan anda. Sekiranya bayi anda membantah, ini tidak bermakna dia enggan patuh atau dia berdegil – malah dia menggunakan sifat ingin tahunya dan juga telah tidak mengingati larangan anda sebab dia tidak boleh mengingati sesuatu itu untuk lebih daripada beberapa saat. Taktik terbaik ialah bagi anda menyatakan ’tidak boleh’ dan kemudian mengalihkan perhatiannya.
 

Perasaan tak senang ketika berpisah

Jika bayi anda sudah memperlihatkan yang dia resah apabila berjauhan dengan anda pada siang hari, sudah tentu dia akan bertambah risau pada waktu malam. Sekiranya dia terjaga tengah malam, walaupun sebentar saja, dan jika dia tahu anda ada berdekatannya, dia akan merengek untuk mendapatkan perhatian. Anda akan berasa serba salah sama ada hendak mendukung dan membawanya tidur bersama anda atau anda harus menghiraukan nasihat orang bahawa ini akan membuatkan bayi anda terlalu manja. Jangan risau: tidak menjadi masalah jika anda kadang-kala mengikut kehendak bayi anda dan membawanya tidur bersama anda – tetapi janganlah selalu sangat. Apabila kebimbangan berpisah sudah tiada, anda boleh mengajarnya semula untuk tidur dengan sendiri. Walau bagaimanapun, jika anda memilih untuk tidur bersama di katil keluarga sudah tentu anda akan sentiasa berdekatan dengan bayi anda pada waktu malam.

Keengganan bayi anda untuk berpisah dengan anda memang menggembirakan tetapi pada masa yang sama, boleh membuntukan akal juga. Dalam hal ini, amalan yang baik ialah bagi anda mengisikan bakul dengan alat-alat mainannya dan membawanya – bersama-sama bayi anda – dari bilik ke bilik apabila anda hendak menghabiskan kerja rumah; dengan cara ini anda boleh sama-sama berseronok dengan bayi anda.
 

Kemahiran mengenal

Sekarang bayi anda sudah boleh bermain sorok-sorok dan tahu bahawa patung dalam mainan "jack-in-the box" akan timbul apabila lagu tamat. Bayi juga boleh mengecam nada suara dan perubahan dalam nada suara dan mungkin akan menangis jika anda bercakap kuat.
 

Memahami bagaimana objek berhubung kait

Bayi anda mula memahami bagaimana objek berhubung kait antara satu sama lain dalam ruang tiga dimensi. Dia akan dapat menyusun alat mainan, seperti mengasingkan item mengikut saiz, contohnya blok. Dan jika dia merenung bayangnya di cermin tingkap dan anda tiba-tiba muncul di belakangnya, dia akan berpaling dan mencari anda dengan betul dan tidak akan menyangkakan yang reflekisi anda dalam cermin itu adalah anda.

Jika anda mendapati bahawa mainan jenis sekejap nampak, sekejap tak nampak (baa-cak) amat menyeronokkan bagi bayi anda, ini adalah sebab dia sudah mula memahami bahawa objek adalah sesuatu yang kekal dan akan tertarik kepada permainan di mana orang atau benda muncul dan hilang. Malah, salah satu cara termudah untuk melekakan bayi yang berusia tujuh bulan ialah dengan menyorokkan objek di bawah selimut untuk dia mencarinya.

Patung dan permainan yang menyeronokkan

Bayi anda seronok bermain mainan yang sama berulang-ulang kali sebab dia suka perkara yang boleh diduga. Selain main sorok-sorok (rujuk di atas), cuba masukkan juga mainan klasik seperti lari-lari keliling taman dan tepuk-kuih tepuk-kuih (patta-cake patta-cake) ke dalam senarai mainan anda.

Pada usia ini, bayi-bayi juga cenderung kepada patung mainan lembut sama ada kecil atau besar. Selalunya, satu daripada patung mainan kepunyaan bayi akan menjadi kegemarannya dan merupakan objek sekuriti baginya sehingga mainan itu bergelumang air liur dan dibawanya bersama-sama ke mana-mana sahaja. Jika anda membeli mainan lembut yang baru, carilah yang empuk, dijahit dengan kemas dan boleh dibasuh. Alat mainan lain yang sesuai termasuklah bola, silinder-silinder dalam sarang, alat mainan pop-naik dan anak patung besar.

Jika bayi anda mempunyai alat mainan kegemarannya, anda akan mendapati bahawa pepatah “semudah mengambil gula-gula daripada bayi” tidak benar lagi. Walaupun dahulu agak mudah untuk mengambil barang dari genggamannya, kini anda mendapati bayi akan membantah dengan kuat semasa anda mengambil alat mainan dan apa jua barang daripadanya. 
 

Biodinar

www.biodinar.com/Layina Borang Pendaftaran KeAhlian BioDinar www.biodinar.com/Layina