Berdikari secara fizikal
Sekarang, cuma tinggal satu bulan saja sebelum harijadi pertama bayi anda dan anda harus sedar yang dia bukan lagi seorang yang tidak boleh bertindak sendiri tanpa anda. Walaupun dia masih memerlukan banyak jagaan dan bantuan, tetapi tahap berdikarinya kian meningkat – jelas apabila melihat dia berdiri, membongkok dan mencangkung – yang semakin menonjol. Dia mungkin boleh berjalan dengan memegang tangan anda dan dia akan mengulurkan lengan atau kakinya untuk membantu anda memakaikan pakaiannya. Pada waktu makan, dia mungkin boleh memegang cawan dan minum sendiri (walaupun sesetengah kanak-kanak tidak boleh membuat ini untuk beberapa bulan lagi) dan boleh menyuap dan menghabiskan makanannya dengan sendiri.
Apa yang menarik ialah, apabila anak anda pandai memegang cawan dan minum sendiri, masa inilah anda mesti belajar bagaimana nak mengelak, sebab sudah tentu dia akan melontarkan saja cawan itu apabila selesai walaupun ada kalanya dia meletakkan cawan secara lembut. Dia juga akan menjatuhkan objek dengan sengaja untuk dikutip oleh orang lain, barangkali mengharapkan anda juga.
Buku untuk si pembaca kecil
Bayi anda seronok melihat buku, walaupun dia tidak akan membukakannya sehelai demi sehelai. Dia juga akan mempunyai buku kegemarannya yang dia akan mahu mengulangi berulang-kali.
Membentuk peribadinya sendiri
Pada usia ini, bayi anda mula menjadi asertif dengan adik-beradiknya dan mula menyertai permainan secara selari – bermain hanya di sampingan (tetapi bukan bersama) kanak-kanak yang lain. Dia juga akan memilih sesuatu selimut atau anak patung lembut sebagai objek sekuriti untuk mendampinginya.
Tiba masanya untuk menetapkan batasan
Bayi anda mungkin sudah boleh memahami arahan mudah dan dengan sengaja akan memilih untuk tidak mendengar cakap anda apabila anda mengatakan “tak boleh.” (Untuk menegaskan ungkapan tersebut, hanya gunakannya untuk perkara-perkara yang betul-betul merbahaya.) Walaupun pada keesokan harinya, bayi anda tidak akan ingat lagi apa yang anda katakan pada hari ini, namun, bukanlah terlalu awal untuk anda menetapkan batasan-batasan dan mula mengajarnya apa yang betul dan apa yang tidak.
Anda bukannya bersikap kejam jika anda tidak membenarkannya makan satu keping kek lagi; anda hanya menetapkan batasan. Jika dia menarik ekor anak kucing, alihkan tangannya, pandang mukanya dengan serius dan katakan, “Jangan, itu menyakitkan kucing.” Kemudian, ambil tangannya dan tunjuklah dia bagaimana untuk membelai kucing dengan lembut. Dia lebih suka meneroka daripada mendengar amaran anda, jadi anda mesti bijak mencari jalan untuk melindungi dan mengajarnya. Apa yang anda terlihat seakan-akan bantahan, sebenarnya bukan begitu; ia hanyalah perasaan semulajadinya untuk mengetahui bagaimana dunia sekelilingnya bergerak dan wujud.
Bercakap tak terhingga
Bunyi-bunyi perkataan dan bunyi yang mirip perkataan akan diungkapkan oleh bayi anda – dan digunakan secara bermakna. Apabila lobus frontal otak bayi anda bertumbesar, serentak dengan keupayaan kognitif tinggi seperti penaakulan dan pertuturan, adalah baik jika anda dapat menggalakkan minatnya terhadap bahasa dengan mendengar bersungguh-sungguh dan membalas kata-kata dan celotehnya. Interaksi seperti ini adalah penting untuk membiasakannya dengan komunikasi dua hala. Bermain permainan bertepuk-tepuk tangan, contohnya patta-cake dan permainan sekejap-nampak, sekejap-tidak atau peek-a-boo akan membantunya menajamkan daya ingatannya.
Pada usia ini, bayi anda mungkin boleh mengajuk bunyi perkatan serta infleksi bunyi dan juga tingkah-laku tertentu. Dia juga mungkin boleh mematuhi arahan mudah seperti "Tolong ambilkan saya bola itu" atau "Angkat sudu itu." Bantu dia belajar dengan memberi arahan secara mudah, langkah demi langkah supaya senang diikuti.
Hargailah masa yang singkat tetapi istimewa ini, iaitu semasa kemahiran komunikasi bayi anda sedang berkembang. Ini boleh dikatakan kebolehan yang paling penting yang diperolehi olehnya.
No comments:
Post a Comment